Paling Popular
Terkini

PRK KKB | Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim muncul di Kuala Kubu Bharu hari ini untuk menghadiri majlis taklimat isu perumahan Ladang Belata River anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bagaimanapun, pemimpin PKR itu yang lantang bersuara itu juga hadir membawa 'misi' yang berbeza daripada kelaziman bagi sesuatu pilihan raya kecil (PRK).

Kali ini Hassan hadir untuk bertemu rakan-rakannya yang kebetulan berada dalam kem lawan yang bertentangan daripada kerajaan.

"Saya ahli parlimen Pakatan Harapan (PH), tapi yang ini semua kawan lama saya. PRM bekas parti saya dulu.

"Jadi, saya datang berjumpa mereka. Yang penting saya ke sini bukan kerana politik," katanya kepada pemberita di Kuala Kubu Bharu.

Mengulas lanjut, Hassan berkata program itu adalah yang pertama dihadirinya di kawasan yang kini semakin 'hangat' dengan kempen menjelang hari mengundi Sabtu ini.

Program tersebut turut dihadiri dua calon lawan kepada PH-BN, iaitu Hafizah Zainudin dan Nyau Ke Xin masing-masing mewakili PRM dan bebas.

"Ini tempat pertama saya sampai di KKB. Ini isu pekerja ladang. Saya diberitahu pekerja ladang itu berjumpa calon-calon yang bertanding di Kuala Kubu Bharu.

"Saya sebagai pemerhati, saya perinci isu ini dan mungkin memberitahu (menyampaikan maklumat) kepada Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari).

"Tapi, pemilihan ini terpulang kepada rakyat. Saya minta pengundi keluar mengundi calon pilihan mereka," katanya.

PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertarungan empat penjuru. Parti kerajaan perpaduan meletakkan Pang Sock Tao sebagai pertaruhan mempertahankan kerusi tersebut.

Selain Hafizah dan Nyau, Pang dicabar seorang lagi calon iaitu Khairul Azhari Saut yang merupakan wakil PN.

Kuala Kubu Bharu merupakan kerusi campuran. Daripada 40,226 pengundi berdaftar, Melayu seramai 46 peratus, diikuti Cina 30 peratus dan India 18 peratus, manakala dan bangsa lain lain 6 peratus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS