Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu peruntukan Muar: AG bantah Syed Saddiq mohon kebenaran semakan kehakiman

Peguam Negara (AG) akan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membatalkan apa yang didakwanya sebagai keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan membatalkan RM730,300 bagi kawasan parlimen Muar.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mengesahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) - yang mewakili perdana menteri dan kerajaan - akan mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Syed Saddiq memerlukan kebenaran daripada mahkamah sivil sebelum dia boleh meneruskan semakan kehakimannya.

Berdasarkan undang-undang, mahkamah sivil memerlukan kebenaran sebelum mendengar merit semakan kehakiman untuk membatalkan cabaran yang remeh, menyusahkan dan bersamaan dengan penyalahgunaan proses mahkamah.

Bekas menteri belia dan sukan itu serta tiga pemohon lain memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 April lalu.

Tiga lagi pemohon ialah pengundi di kawasan Muar.

Bekas presiden Muda itu juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan yang didakwanya dibuat dua responden - perdana menteri (yang tidak dinamakan) dan kerajaan persekutuan - untuk membatalkan akses pemohon kepada sistem myKHAS yang menguruskan permohonan peruntukan RM2 juta bagi kawasan parlimen Muar.

Menurut salinan afidavitnya, bekas ketua Armada Bersatu itu mendakwa kononnya keputusan peruntukan itu dibuat sejurus selepas Muda membuat keputusan menarik diri daripada kerajaan perpaduan pada 10 Sept tahun lepas.

Gambar fail, Syed Saddiq ketika bersama Kerajaan Perpaduan.

Menurut Syed Saddiq dia telah bertemu Timbalan Perdana Menteri II Fadillah Yusof dua kali sehingga April tahun ini untuk membincangkan perkara itu.

Namun, katanya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan masih gagal menyalurkan peruntukan yang didakwanya itu ke kawasan Muar.

Menurutnya, lima ahli parlimen pembangkang yang berikrar menyokong Anwar serta-merta mendapat peruntukan penuh ke kawasan mereka.

Syed Saddiq menyebut Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi.

Pemohon semakan kehakiman diwakili oleh firma guaman Tetuan Lim Wei Jiet.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS