Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN l Bila gaji naik tapi produktiviti tak naik, kos pula akan naik

ULASAN l Kakitangan awam naik gaji lagi. Laporan media massa kata, purata 13 peratus. Maksudnya, kalau satu ringgit jadi RM1.13.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim kata, ini adalah kenaikan tertinggi dalam sejarah.

Tetapi ada laporan media mengatakan, pada tahun 2007, iaitu zaman Abdullah Ahmad Badawi, gaji sesetengah kategori kakitangan awam naik hingga 35 peratus.

Gaji kakitangan awam ini dibayar guna duit cukai yang dikutip daripada rakyat jelata dan hasil kerajaan daripada sumber-sumber lain, macam Petronas dan Khazanah Nasional Berhad.

Ikut teori ekonomi, gaji naik tapi produktiviti tidak naik, kos akan naik. Bila kos naik, inflasi pun naik. Masalahnya produktiviti kakitangan awam ini sukar diukur sebab tidak ada akaun untung-rugi macam swasta.

Yang dapat kenaikan gaji tentulah gembiralah. Tetapi yang tidak bekerja dengan kerajaan dan kena tanggung kos perkhidmatan awam serta inflasi tentulah tidak gembira.

Cerita kakitangan awam naik gaji menyebabkan harga barang naik adalah perkara biasa dan sudah berlaku berulang kali.

Kes klasik berlaku pada tahun 1970 apabila Laporan Gaji Aziz mengenai imbuhan guru dilaksanakan. Nama cikgu naik. Setiap pembeli yang masuk kedai Cina dipanggil cikgu dan harga barang naik.

Kenaikan harga barang akibat kenaikan gaji kakitangan awam ini akan menjadi lebih buruk kalau kakitangan kerajaan sendiri tidak buat kerja mengawal harga dan cegah "profiteering".

Aspek politik dalam kenaikan gaji kakitangan awam pun bukan perkara baru. Tersirat dalam setiap kenaikan dan bonus khas adalah undi kakitangan awam terhadap calon parti-parti kerajaan dalam pilihan raya.

Tetapi wang tunai tidak semestinya "king" seperti yang berlaku kepada Abdullah dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan Najib Razak dalam PRU 2018. Abdullah hampir kalah dan Najib terus kalah.

Jadi, saya ingin bersangka baik dengan memberi "the benefit of the doubt" kepada perdana menteri bahawa kenaikan gaji kakitangan awam ini adalah altruisme - tanpa mengharapkan balasan.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk “Gaji dan Produktiviti Pengaruhi Inflasi”. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS