Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aniaya Bella: Mahkamah tolak rayuan Siti Bainun, penjara 12 tahun kekal
Diterbitkan:  May 2, 2024 11:38 AM
Dikemaskini: 7:19 AM

Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Mei 2023.

“Mahkamah mendapati tiada sebab untuk mahkamah ini mengusik dapatan Hakim Mahkamah Sesyen. Oeh itu, sabitan dan hukuman perayu (Siti Bainun) adalah selamat dan dikekalkan. Rayuan perayu ditolak,” kata hakim itu.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13 dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.

Wanita itu kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara.

Hakim Noorin turut menolak permohonan peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan berhubung keputusan hari ini difailkan di Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakimannya beliau berkata terdapat 18 kecederaan dan parut-parut pada badan mangsa telah dibuktikan oleh kesemua saksi-saksi perubatan bahawa kecederaan itu adalah bukan kemalangan atau perbuatan mangsa sendiri (Bella).

"Mahkamah berpuas hati penilaian secara maksimum telah dilakukan oleh hakim Mahkamah Sesyen terhadap saksi-saksi pendakwaan iaitu saksi mata, Yasmin Nahar Mahmood (bekas penghuni Rumah Bonda) iaitu saksi pendakwaan kelima (SP5), keterangannya telah disokong oleh saksi-saksi perubatan yang merupakan saksi-saksi pakar yang memeriksa mangsa,” katanya.

Menurut Hakim Noorin selain keterangan daripada SP5, keterangan SP8, Suhana Zam (rakan baik Siti Bainun) turut disokong oleh keterangan perubatan yang secara konsisten mendapati kecederaan dialami mangsa bukan kemalangan.

Oleh itu beliau berkata mahkamah mendapati adalah sukar untuk membuat dapatan bahawa kedua-dua saksi ini mereka-reka cerita terhadap perayu.

Hakim Noorin berkata mangsa adalah kanak-kanak istimewa, dan keterangan saksi-saksi pendakwaan secara keseluruhannya melengkapkan naratif kes pendakwaan bahawa mangsa telah diabaikan dan dianiaya sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Beliau berkata mahkamah mendapati pembelaan perayu bahawa mangsa hanya mengalami sekali kelecuran sahaja adalah berlawanan dengan naratif dan keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Menurut hakim itu saksi-saksi pakar mengatakan bahawa hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati kecederaan dialami bukan merupakan kecederaan yang terhasil oleh satu insiden sahaja dan berlaku pada masa-masa yang berbeza kerana terdapat kecederaan yang telah sembuh.

Hakim Noorin berkata keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pakar ini adalah konsisten sedangkan keterangan perayu dan saksi perayu mengenai insiden tumpahan air panas yang dikatakan berlaku hanya sekali sahaja ke atas mangsa adalah bercanggah.

“Mahkamah mendapati hampir kesemua alasan-alasan yang diberikan oleh perayu dalam petisyennya merupakan ulangan kepada isu-isu yang ditimbulkan semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

“Mahkamah mendapati, isu yang ditimbulkan oleh perayu dan pembelaan perayu tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah ke atas intipati pertuduhan dihadapinya," kata hakim itu.

Mengenai pertuduhan, Hakim Noorin berkata berdasarkan nota keterangan mahkamah mendapati tidak terdapat sebarang keterangan dan keadaan yang menunjukkan perayu terkeliru dengan pertuduhan-pertuduhan dihadapinya yang mengakibatkan perayu tidak berupaya untuk membela diri.

Beliau berkata mahkamah mendapati perayu telah diberikan notis mencukupi melalui pertuduhan yang dikemukakan sejak dari awal dan dia berupaya memahami 'the nature of the case' mengenai bagaimana kesalahan itu dilakukan.

Menurutnya melalui keterangan-keterangan dikemukakan dan pemeriksaan balas yang panjang terhadap saksi-saksi pendakwaan, perayu didapati tahu dan tidak terkeliru serta faham bahawa pertuduhan terhadapnya adalah pengabaian dan penganiayaan yang telah dilakukan olehnya secara fizikal dan emosi terhadap mangsa.

"Mahkamah juga berpuas hati bahawa melalui pemeriksaan balas saksi-saksi pendakwaan, perayu sama sekali tidak diprejudiskan dengan pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan sama ada sebelum atau selepas dipinda oleh hakim Mahkamah Sesyen," katanya.

Siti Bainun hadir ke mahkamah memakai jubah putih dan tudung hijau muda.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa, sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala Haijan dibantu peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Noor dan Nurul Hafidzah Hassan.

Selepas prosiding, peguam pemerhati Datuk Khairul Anwar Rahmat yang dilantik oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim ketika ditemui media berkata Bella masih trauma walaupun kecederaan dialaminya sudah pulih.

Menurut peguam berdasarkan ujian klinikal, Bella kini berusia 17 tahun dan pihaknya memohon supaya Jabatan Pendaftaran Negara memberi maklum balas mengenai status kad pengenalan Bella yang dipohon oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS