Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK KKB | Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan lemah kerana tiada pakatan antara parti-parti yang berada dalam kerajaan, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, kerajaan perlu memberi kuasa kepada pembangkang sekiranya tidak mampu menguruskan negara.

"Saya kata kamu jadi kerajaan lemah kerana kamu tak berpakat dengan baik dengan parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

"Semua bergaduh. Tak ada kumpulan WhatsApp pun. MCA gaduh DAP di KKB. MIC pujuk-pujuk, patah balik. Saya tahu MIC tak ikhlas. MIC berlakon sahaja, dia tak kerja pun di PRK ini. Dia ada kepentingan dan dia buat kenyataan dia akan sokong DAP di KKB. Tapi, dia tak buat kerja.

"Semua orang nampak dengan jelas. Hang nak sembunyi mana. Tak boleh sembunyi tak boleh elak daripada hang memberi jawapan kepada semua soalan yang ditanya oleh pembangkang dan rakyat.

"Kalau hang tak boleh jawab, hang berhenti dengan hormat turun bagi orang lain jadi kerajaan," katanya dalam ucapan di Ceramah Perdana di Batang Kali, malam tadi.

Sebelum ini, MCA mengumumkan tidak akan terlibat dalam PRK berkenaan kerana terguris hati dengan sikap DAP yang mengkritik parti itu.

MIC pula pada awalnya memaklumkan hanya akan berkempen untuk calon BN, namun bersetuju untuk turun berkempen bagi membantu calon PH selepas diminta Anwar.

‘Kerajaan kena jadi jantan’

Mengulas lanjut, Sanusi mendakwa kerajaan hari ini tidak ada petunjuk untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi rakyat sehingga menggunakan undang-undang untuk menuduh pihak yang mengkritik kerajaan.

"Dia tak tahu nak buat apa. Mana-mana pihak yang tanya soalan dia akan tembak dengan fitnah tanpa hujah sama sekali. Kalau kerajaan pergi sampai begitu, kerajaan ini bukan lagi pelindung kepada rakyat.

"Mana ada kerajaan dengan segala kekuatan pentadbiran, kuasa dan jentera kerja dia serang pembangkang sahaja. Mana ada kerajaan di dunia ini, di Malaysia sahaja. Kerajaan kena jadi jantan.

"Jadi saya minta pengundi KKB memilih calon PN pada PRK ini agar memberi isyarat kepada kerajaan hari ini bahawa rakyat sedang menolak kerajaan ini," katanya.

DUN Kuala Kubu Bharu merupakan 'kerusi campuran' dengan pecahan pengundi Melayu (46 peratus), Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) dan lain-lain (6 peratus).

Calon PN Khairul Azhari Saut akan berdepan tiga lagi calon, iaitu Pang Sock Tao daripada PH, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dan 7 Mei untuk pengundian awal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS