Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penghasut kaum India itu sebenarnya ada kepentingan - Anwar
1

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan kerajaan meminggirkan masyarakat India sejak menerajui pentadbiran negara.

Dipercayai merujuk kepada dakwaan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, Anwar berkata pemimpin berkenaan cuba menghasut masyarakat India supaya membenci kerajaan.

"Itu sebab saya katakan dia cuba menghasut, mempengaruhi orang India supaya tidak faham, yang menghasut itu sebenarnya yang ada kepentingan dan orang-orang kaya sebenarnya.

"Dan kadang-kadang dia bebal sebab parti dia tak bagi jawatan, itu bukan masalah saya, ini masalah yang harus dihadapi dalam parti, sebahagian itu kawan-kawan saya juga dulu, nak buat macam mana," katanya semasa "Soal Jawab bersama Perdana Menteri" yang disiarkan di media utama.

Anwar berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat India dan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk membantu masyarakat itu, tanpa mengabaikan Bumiputera.

"Tapi ini tidak bermakna zero-sum game, tolong Melayu maknanya kita pinggirkan (kaum lain), jadi (hujah) itu digunakan, padahal kalau kita tidak lakukan begitu, ia jadi tidak adil.

"Sebab itu saya terangkan kepada masyarakat India, janganlah dia marah atau cemburu dengan program golongan Bumiputera, tanya apa yang perlu kita lakukan.

“Kewarganegaraan orang yang berhak, ketinggalan 50 tahun dulu lahir di Malaysia, tak dapat, itu kita selesaikan, dan ini kali pertama diselesaikan paling banyak oleh KDN," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengecam Ramasamy berhubung kempen di kalangan kaum India supaya tidak mengundi PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Loke berkata Ramasamy tidak memberikan alternatif kepada pengundi.

Ramasamy bagaimanapun berkata Urimai hanya meminta pengundi menolak PH dan DAP untuk memberikan pengajaran kepada gabungan itu.

Dia mendakwa kerajaan meminggirkan masyarakat India, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

Ramasamy juga menyenaraikan beberapa insiden yang telah menyakiti perasaan kaum India, termasuk ketika perdana menteri menggunakan kata-kata kasar semasa berucap.

Anwar sebelum ini berkata dia menggunakan perkataan sedemikian sebagai petikan dari sebuah buku dan tidak bermaksud menyakiti perasaan orang India di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS