Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

KOMENTAR | Sehari dua ini orang bercakap tentang Akaun Fleksibel KWSP. Ramai yang berharap ia akan mengatasi masalah rakyat yang tidak cukup duit untuk berbelanja.

Bagi saya akaun fleksibel itu semacam paracetamol . Orang yang sakit kepalanya, selepas menelan paracetamol, akan legalah sekejap. Kemudian sakit datang lagi kerana ia hanya penyelesaian sementara.

Isu rakyat sekarang ialah kos sara hidup yang meningkat walaupun  menteri kata harga barangan banyak yang turun. Saya tidak salahkan menteri. Saya juga tidak salahkan rakyat.

Masing-masing ada pengalaman ketika membeli-belah.

Akaun Fleksibel KWSP hanyalah helah golongan yang tidak cukup duit mendapatkan wang untuk berbelanja. Berbelanja wang tabungan adalah tidak fleksibel.

Ia cuma suatu acuan yang kita siapkan bagi menjerat leher sendiri pada masa hadapan.

Kerajaan terpaksa mengikut tuntutan sesetengah rakyat yang mendesak mereka dibenarkan membawa keluar dana dari KWSP.  Seperti pemimpin terdahulu, Anwar Ibrahim terpaksa melayan kehendak golongan yang kurang kuasa beli.

Pada era dua perdana menteri sebelum Anwar, caruman KWSP boleh dikeluarkan kerana rakyat tidak ada wang untuk memenuhi keperluan asas.

Pada 2020 ancaman Covid-19 memaksa jutaan rakyat berkurung di rumah demi mengekang wabak yang membunuh itu.

Banyak kilang dan perusahaan kecil dan sederhana terpaksa menghentikan atau mengurangkan saiz operasi. Justeru ramai yang menganggur, dan kerajaan tidak boleh membiarkan kehidupan rakyat terus terjejas.

Seperti kata penyair terkenal WS Rendra: Kemiskinan adalah pemberontakan dalam kehidupan.  

Era selepas Covid-19 masih memberi kesan rantaian terhadap ekonomi global. Pasaran kewangan dan saham masih terancam dengan pelbagai isu politik dan ketenteraan sejagat.

Perang Rusia – Ukraine tidak menampakkan penyelesaian meskipun puluhan ribu nyawa terkorban.

Bermula dengan sifar

Sengketa terkini Palestin dan Israel sejak  7 Okt tahun lalu masih jauh daripada penyelesaian, manakala Iran pula menguji dron dan peluru berpandu ke langit Tel Aviv pada 14 April lalu.

Pelbagai aksi lain dijangka menyusul yang mungkin menjejaskan pasaran minyak dari Asia Barat.

Isu global adalah isu semua negara. Pasaran perniagaan yang tidak menentu memberi kesan terhadap ekonomi Malaysia. Kuasa beli rakyat jatuh. Kadar upah masih rendah.

'Talian hayat' dari caruman KWSP amat meragukan untuk membantu sebahagian besar rakyat mengubah keadaan masing-masing.

Rakyat yang bergaji kecil mustahil mempunyai kadar caruman yang tinggi. Tetapi golongan inilah yang lantang di media sosial menuntut pengeluaran KWSP yang kononnya hak mereka.

Kerajaan akur dan KWSP mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan disusun menjadi tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan dan Akaun Fleksibel sebagai akaun baru untuk menyediakan fleksibiliti bagi keperluan kewangan jangka pendek.

Simpanan dalam Akaun Fleksibel KWSP boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli. Baki dalam akaun satu dan akaun dua masing-masing kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala akaun fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Saya meragui akaun fleksibel boleh mengatasi masalah rakyat kerana naluri manusia untuk berbelanja mengatasi keperluan menabung. Dalam hal ini langkah kerajaan lebih kepada mengekang suara negatif di media sosial.

Usaha KWSP adalah langkah popular kerana isu  yang sebenar ialah jumlah caruman yang tidak banyak. Sebanyak 80 peratus pencarum tidak mempunyai wang mencukupi untuk membiayai persaraan mereka.

Sukar uruskan kewangan

Adakah selepas usia 60 tahun mereka masih perlu ke luar rumah setiap hari demi meraih rezeki dengan anggota fizikal yang semakin lemah?

Sebanyak 71 peratus atau lebih dua per tiga ahli aktif mencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah, berada dalam situasi serius apabila jumlah dana masing-masing tidak mencukupi untuk bersara dan melebihi paras kemiskinan.

Seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun masing-masing.

Jumlah ini menyebabkan ahli memperoleh pendapatan persaraan kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

Sebanyak RM240,000 diperlukan bagi membolehkan seseorang pesara hidup dengan 'tenang' dalam tempoh 20 tahun berpandukan kepada purata jangka hayat rakyat Malaysia hari ini.

Menurut laporan Bank Negara Malaysia 75 peratus daripada pesara di Malaysia menggunakan simpanan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas menamatkan perkhidmatan.

Ini menunjukkan mereka menghadapi kesukaran menguruskan kewangan  secara berkekalan selepas bersara.

Ada yang menyatakan kemiskinan bukan isu utama kerana budaya kekeluargaan yang berakar umbi dalam masyarakat Malaysia. Kononnya  anak akan membantu orang tua mereka yang menghadapi kesempitan hidup pada usia emas.

Dakwaan ini tidak benar kerana anak juga mempunyai komitmen selepas berkeluarga dan mempunyai kehidupan sendiri. Apa yang dulunya berlaku di Barat sudah tular dalam masyarakat Timur apabila ibu bapa ditempatkan di rumah kebajikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan semasa berita!


Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, negara ini dijangka mencapai status negara menua pada 2030 apabila 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas.    

Penuaan penduduk adalah trend global masa kini yang berlaku disebabkan peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kesuburan.

Impak negara menua merentasi pelbagai sektor, dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan serta kebajikan warga emas sahaja. Aspek cabaran dalam kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan guna tenaga buruh selain penggunaan teknologi yang akan menentukan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan.

 Akaun Fleksibel KWSP bukan jawapan mengatasi masalah rakyat.


IMLAN ADABI ialah wartawan marhaen.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS