Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sudah-sudahlah berbalah, Charles nasihat pemimpin India
Diterbitkan:  May 1, 2024 5:11 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

PRK KKB | Bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago hari ini menasihatkan pemimpin politik India supaya menumpukan penyelesaian isu masyarakat dan bukan menyerang sesama sendiri ketika pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu.

Ini selepas ahli parlimen DAP RSN Rayer semalam mengecam bekas rakannya P Ramasamy kerana menggesa pengundi India di KKB supaya tidak menyokong PH.

Charles berkata kaum India di KKB menghadapi isu lama yang memerlukan penyelesaian yang berdaya tahan dan bukannya melihat ahli politik mereka bergaduh sesama sendiri.

"Enam puluh tahun lebih dan orang India KKB masih mempunyai isu yang tidak dapat diselesaikan. Tetapi daripada mencari penyelesaian yang bertahan lama, kami sibuk melempar batu antara satu sama lain.

"Mungkinkah ini sebabnya isu yang melibatkan kaum India tidak pernah diselesaikan sejak awal," soalnya pada kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Charles membangkitkan isu perumahan di KKB yang menyaksikan sebuah sekolah Tamil terpaksa melindungi kanak-kanak terbiar.

Dia juga menyoal jika pimpinan politik telah melawat komuniti terjejas serta menggesa PH mendengar denyut nadi rakyat dan mencari penyelesaian untuk mereka.

"Dasar mesti mencerminkan aspirasi masyarakat terjejas. Di KKB kami mempunyai isu perumahan yang berlarutan dengan sebuah sekolah Tamil yang melindungi kanak-kanak terbiar.

"Berapa ramai daripada mereka yang menjerit sekuat hati ini telah melawat masyarakat terlibat dan kanak-kanak itu? Saya terlupa, lebih mudah untuk menjadi pahlawan papan kekunci.

"Tiada siapa yang akan mempercayai anda jika anda turun padang sekarang, menjanjikan bulan dan matahari kepada kaum India. Jadi, dengar isu mereka dan dapatkan idea strategik untuk menanganinya,” kata Charles.

Katanya lagi walaupun PH berkaya mengekalkan KKB dalam pilihan raya, rakyat mungkin tidak percaya lagi gabungan itu jika gabungan tersebut gagal menangani isu mereka.

Semalam, Rayer menyerang Ramasamy dan mereka yang sehaluan dengannya kerana berkempen menentang PH pada pilihan raya kecil ini.

Terdahulu, Ramasamy, yang kini mengetuai Urimai, parti berteraskan orang India menggesa pengundi di Kuala Kubu Baharu supaya tidak mengundi PH.

Ramasamy dilaporkan berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus "diberi pengajaran" kerana tidak menunaikan janjinya kepada rakyat Malaysia.


  • Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

    Klik: https://mk.my/wa_mkinibm


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS