Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengembaraan Jack Voon mengelilingi dunia bermula

Sejak lima tahun lalu, Jack Voon Kuet Fui sudah merancang untuk menjadikan impiannya sejak kecil - mengelilingi dunia - menjadi kenyataan.

Hari ini, pemuda dari Sarawak itu memulakan perjalanannya dengan bertolak dari pekarangan Menara 188 Kuantan, Pahang dengan Terengganu sebagai destinasi terawal sebelum melewati Kelantan dan seterusnya memasuki Thailand.

Ekspedisi solo menggunakan Perodua Kenari itu dirasmikan oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man.

Di sepanjang perjalanan itu Voon akan menggunakan kereta jenama Malaysia, Perodua Kenari.

Mengikut perancangan asal, Voon akan merentasi tujuh benua dalam menjayakan ekspedisi itu.

Ketika berucap merasmikan pelepasan ekspedisi, Leong berharap kesungguhan ditunjukkan Voon dapat memberi inspirasi kepada orang lain dalam mempromosikan kepelbagaian budaya Malaysia kepada dunia.

"Saya difahamkan Voon akan turut mengadakan persembahan kebudayaan di beberapa lokasi terpilih sepanjang ekspedisi itu.

"Saya harap dia juga dapat membantu mempromosikan negeri Pahang ketika ekspedisi ini berlangsung," katanya.

Sementara itu, Voon, 47, ketika ditemui di pekarangan Menara 188 Kuantan memberitahu, dia pernah hampir putus asa untuk memenuhi impian sejak kecil itu berikutan kesibukan kerja.

"Apabila sampai pada satu tahap dalam hidup, ketika saya memasuki usia 40-an, saya rasa patah hati kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja.

"Jadi saya fikir, kena buat semula apa yang sudah lama saya mahu... keluar melihat dunia dan mengenali lebih banyak budaya di negara lain.

"Sejak itu saya mula simpan duit, beberapa tahun sebelum ini saya hanya pergi kerja dan balik berehat di rumah... tidak keluar berseronok atau lepak minum dengan kawan-kawan.

"Banyak simpanan saya habiskan untuk membaik pulih kereta ini untuk memastikan impian saya menjadi kenyataan," katanya.

Mei 2027 kembali ke Malaysia

Dia juga memaklumkan sudah hampir RM20,000 digunakan untuk proses ubah suai kereta tersebut.

Sebelum ini Voon pernah bekerja sebagai eksekutif teknologi maklumat dan banyak terbabit dalam aktiviti kesukarelaan.

Selain itu, dia juga pernah terbabit dalam dunia politik sebelum membuat keputusan untuk 'pencen' kerana tidak sesuai dengan jiwanya.

Ketika ditanya kenapa dia memilih untuk menggunakan Perodua Kenari bagi ekspedisi itu, Voon berkata kereta itu lebih ekonomi dan selamat.

"Kalau guna kereta mewah, risiko lebih besar saya kena tanggung... mungkin kena rompak atau berdepan masalah lain apabila memasuki negara tertentu.

"Begitu juga kalau pilih kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai, risiko tetap ada tambahan lagi ketika melalui kawasan (negara) yang sedang berdepan konflik bersenjata," jelasnya.

Ekspedisi itu merangkumi jarak perjalanan keseluruhan kira-kira 200,000 kilometer dan dijangka mengambil masa hingga tiga tahun.

Dia dijadualkan mengunjungi 108 negara sepanjang ekspedisi itu.

"Kalau perjalanan dirancang itu mengikut jadual asal, saya fikir menjelang minggu pertama Mei 2027 saya akan dapat kembali ke Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS