Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke: Ramasamy tak ada hala tuju, boleh 'sesat' kalau diikut

PRK KKB | Mengakui P Ramasamy berhak untuk bersuara, namun bagi DAP, bekas ketua menteri Pulau Pinang itu "tak tentu arah" dalam langkah politiknya.

Menurut Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika Ramasamy mengajak orang ramai agar mengelak daripada mengundi PH, dia tidak pula menawarkan sebarang pilihan.

"Dia kata jangan undi Pakatan Harapan (PH), jadi apa alternatif dia?

"Dia tak ada alternatif, maksudnya orang ini berpolitik atas dendam saja. Dia dendam kepada DAP, dendam kepada PH sebab tidak dicalonkan semula," katanya sambil menggesa agar orang ramai tidak melayan pandangan yang diberikan.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata demikian semasa turun berkempen untuk calon parti kerajaan, Pang Sock Tao, di Kuala Kubu Bharu pagi tadi.

Turut hadir Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo.

PRK pada 11 Mei ini diadakan selepas kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Lee dan Pang merupakan calon dari DAP dan mendapat sokongan PH serta BN. Pang, 31, cuba mempertahankan kerusi tersebut untuk dimenangi parti kerajaan dan berdepan dengan tiga lagi pencabar.

Selain seorang calon bebas dan seorang lagi dari Parti Rakyat Malaysia, cabaran utama didepani Pang ialah daripada wakil PN, Khairul Azhari Saut, 54, yang juga pemimpin Bersatu Kuala Kubu Bharu.

Pada 24 April lalu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) menyertai kehangatan kempen PRK Kuala Kubu Bharu dengan mengajak orang ramai menjauhi PH.

Ramasamy merupakan pengerusi Urimai. Katanya kempen parti yang baru ditubuhkan oleh beberapa bekas ahli dan pemimpin DAP itu dibuat sebagai pengajaran kepada Putrajaya yang didakwanya tidak menunaikan janji kepada rakyat Malaysia.

Ramasamy - yang terkenal kerana lantang bersuara - digugurkan daripada calon DAP dalam PRU lalu.

Loke berkata PRK Kuala Kubu Bharu ini merupakan proses memilih wakil rakyat untuk Dewan Undangan Negeri Selangor.

Memilih calon kerajaan, katanya, bermakna penduduk di situ boleh dibantu dengan mudah oleh kerajaan, sedangkan Ramasamy "tidak berani" mencadangkan alternatif lain buat pengundi Kuala Kubu Bharu.

"Itu yang kita nak bahaskan, bincangkan dalam kempen PRK ini, bukannya soal nak boikot itu, boikot itu.

"Dia (Ramasamy) boikot kita tapi alternatif dia siapa? Dia tak berani nak cakap patut pilih siapa. Maksudnya dia tak ada hala tujulah.

"Orang yang tak ada hala tuju, kalau kita ikut dia, kita pun tak ada hala tujulah... kita pun akan sesat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

https://mk.my/wa_mkinibm


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS