Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PH soal Fadhli: Kenapa presiden PAS hantar cucu ke SJKC?
Diterbitkan:  May 1, 2024 10:00 AM
Dikemaskini: 1:12 PM

Pemuda PH membidas Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari kerana mempolitikkan latar belakang pendidikan calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao.

Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata Fadhli sebaliknya perlu mempersoalkan mengapa Presiden PAS Abdul Hadi Awang menghantar cucunya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

"Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari adalah bukti parti tersebut hipokrit dan rasis. Cubaannya untuk menjatuhkan calon Perpaduan di Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao, dengan bermain isu sekolah vernakular hanya kerana saudari Pang berbangsa Cina amat dikesali.

"Hakikatnya, saudari Pang fasih berbahasa Melayu dan telah dibuktikan dengan keputusan SPM yang cemerlang, termasuk A untuk subjek Bahasa Melayu. Tidak diketahui pula sama ada Fadhli berjaya mendapat gred A dalam SPM," kata Ammar dalam satu kenyataan hari ini.

Pang sebelum ini berkongsi keputusan SPM dan UPSR yang menunjukkan keputusan cemerlang semua A selepas dia dicabar Fadhli agar mendedahkan keputusan berkenaan.

Calon berusia 31 tahun itu mengambil SPM pada 2010 dan mendapat keputusan semua A, meliputi A+, A dan A-.

Pelajar Sekolah Menengah Chung Hua di Port Dickson, Negeri Sembilan itu turut mendapat keputusan lebih baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (A) dan Bahasa Inggeris (A+), berbanding Bahasa Cina (A-).

Sementara itu, Ammar meminta Fadhli bertanya kepada Abdul Hadi mengapa cucunya menerima pendidikan di sekolah vernakular.

"Perkara ini pernah disahkan oleh mantan setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebelum ini. Malah, Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor, yang turut merupakan ahli PAS, juga menghantar anaknya ke SJKC.

"Apakah Hadi dan Salamiah hilang kepercayaan terhadap Sekolah Kebangsaan? Atau, adakah dengan memasuki SJKC, cucu Hadi dan anak Salamiah sudah hilang rasa patriotik terhadap Malaysia?" soalnya.

Dia turut menggesa pengundi KKB menilai sendiri sama ada mereka mahu mengundi PN yang terdiri daripada pemimpin seperti Fadhli.

"Bukan budaya kita untuk membenih rasa benci terhadap kaum lain. Kepada Fadhli, mesej saya kepada anda: Rasis dan hipokrit simpan tepi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

https://mk.my/wa_mkinibm


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS